Chernobyl, Bhopal dan kini Pasir Gudang?

Ketika ini ramai yang marah dan sedih dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani masalah pencemaran gas dan kimia yang berlaku buat kali ke-2 sehingga nyawa masyarakat Pasir Gudang menjadi taruhan.

Pendedahan portal buletin Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) akan video seorang kanak-kanak yang disahkan menghidap penyakit Myokimia akibat pencemaran gas dan kimia yang berlaku dan kemudiannya mendapat liputan meluas media lain adalah sesuatu yang amat menakutkan.

Bagaimanakah kerajaan PH boleh terlepas pandang kes kanak-kanak ini sehinggalah kisahnya dipaparkan oleh TTKM? Kerajaan negeri Johor pula baru mahu bertemu dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan selepas kisahnya menjadi viral?

Apakah Pasir Gudang tidak ada nilai buat kerajaan PH?

Kenyataan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Zulkifli Abdul Rashid bahawa gas akrilonitril yang dikesan dalam pencemaran di Pasir Gudang mempunyai sifat karsinogenik yang boleh mengakibatkan kanser seharusnya dipandang serius oleh kerajaan PH.

Sepatutnya pada tahap ini sudah dirangka satu pelan jangka panjang untuk memulihkan kembali Pasir Gudang daripada krisis pencemaran itu.

Namun, tiada apa-apa yang kelihatan setakat ini.

Pasir Gudang kini berdepan dengan krisis pencemaran terburuk dalam sejarah negara. Kerajaan persekutuan dan negeri di bawah PH dilihat buntu dan gagal menyakinkan rakyat bahawa krisis ini akan dapat ditangani dengan tegas.

Jika rakyat mempersoalkan kredibiliti kerajaan PH dalam menangani krisis ini, maka jawablah secara profesional, bukannya melatah dengan mahu menyaman kembali rakyat yang menimbulkan persoalan itu.

Rakyat hanya mahukan kebenaran dan ketelusan daripada kerajaan PH. Tetapi apakah kerajaan benar-benar telus dengan rakyat dalam isu tragedi ini?

Kita tidak mahu Pasir Gudang mengulangi tragedi dan sejarah hitam tragedi pencemaran industri seperti Chernobyl di Rusia mahupun Bhopal di India.

Edwin Michael ialah pensyarah sains politik dan kewartawanan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.