Ibu bapa main peranan penting, kata Yeoh selepas kes adik bunuh abang

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membesarkan anak mereka susulan penahanan seorang remaja bersama teman lelakinya yang disyaki membunuh abangnya berusia 15 tahun selepas pergaduhan mengenai telefon bimbit, kata timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Hannah Yeoh berkata, tidak cukup sekadar menahan kanak-kanak bawah umur yang melakukan jenayah, sebaliknya pihak berkuasa perlu melihat apa yang berlaku dalam keluarga kanak-kanak itu.

“Selalunya perkara ini berlaku apabila kita ada communication breakdown (masalah komunikasi) di mana ahli keluarga tidak bercakap (sesama sendiri), tiada orang pantau, anak-anak tidak dididik.

“Saya nak tunggu laporan dulu dan kita tengok apa yang membuatkan keluarga itu menjadi seperti itu.

“Tapi seperti trend lain saya lihat, keluarga itu sama ada bapa tak ada ataupun ibu tunggal, ibu kena cari pekerjaan dan anak-anak dibiarkan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kes remaja berusia 14 tahun bersama teman lelakinya ditahan selepas mengaku membunuh abang gadis itu yang dipercayai akibat telefon bimbit.

Mayat pelajar itu ditemui dibuang di belakang sebuah rumah kosong dekat rumah mangsa di Taman Glenview, Kamunting kira-kira 12.18 tengah hari semalam.

Pasangan kekasih remaja itu direman 6 hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward 7 pada Jumaat lalu.