Kilang durian wujud 1,200 peluang pekerjaan di Songkhla

SONGKHLA: Kilang pemprosesan durian, Food Co Ltd (Manguwan) di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand yang mula beroperasi hari ini akan mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan dan memajukan ekonomi di wilayah itu.

Kilang pemprosesan durian Manguwan yang terletak di tanah seluas 5.44 hektar di Thepa, Songkhla merupakan salah satu daripada 3 kilang pemprosesan durian di Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Manguwan, Xiao Yaoheng berkata kilang pemprosesan itu dengan jumlah pelaburan sebanyak 700 juta baht itu dijangka mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata kilang itu akan memproses 12 juta tan durian setahun.

“Ini merupakan satu usaha untuk memajukan ekonomi di wilayah selatan Thailand dan meningkat taraf hidup masyarakat setempat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wakil rakyat Parti Demokrat dan bekas presiden Dewan Pentadbiran Wilayah Songkhla merasmikan kilang pemprosesan itu.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Southern Border Provinces Administrative Center (SBPAC) Somkeart Ponprayoon.