KPKT: Tiada pilihan raya PBT dalam masa terdekat

Timbalan Menteri KPKT, Raja Kamarul Bahrin Shah.

PETALING JAYA: Pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan perlu adanya keputusan dari Jemaah Menteri, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menteri KPKT, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pelbagai pindaan akta perlu dibuat sekiranya mahu ia dilaksanakan, seperti mengaktifkan semula Akta Kerajaan Tempatan 1976, meminda akta di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mewujudkan peraturan pilihan raya PBT.

“Sehingga kini KPKT sudah ada 3 siri bengkel berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan dilakukan, sepanjang tempoh 2018/2019. Lanjutan itu, keraaan perlu meminda perundangan berkaitan bagi membolehkan ia dilaksanakan. KPKT juga dalam peringkat penyediaan maklumat kajian kepada Jemaah Menteri.

“KPKT akan membuat persediaan menyeluruh bagi pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan pilihan raya PBT akan dilaksanakan kerana berkemungkinan boleh mewujudkan konflik berasaskan perkauman. Malah, menurutnya jika ia diadakan, boleh menyebabkan jurang di antara bandar dan luar bandar.

Raja Kamarul berkata, KPKT dijangka membentangkan keputusan kajian yang dilakukan kementerian selepas mendapat pandangan dari kerajaan negeri dan NGO kepada Jemaah Menteri pada akhir tahun ini.

“Kita masih dalam proses menyediakan kertas untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, segala kertas kajian, contoh-contoh yang dijalankan di negara-negara Komanwel sudah diambil kira. Ini sebahagian kajian yang diambil dan dipertimbangkan.

Raja Kamarul berkata demikian menjawab pertanyaan Azalina Othman (BN-Pengerang) yang memintanya menjelaskan apakah perkembangan kajian yang dibuat KPKT berkenaan pelaksanaan semula pilihan raya PBT, serta adakah akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menjawab pertanyaan Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) apakah jaminan Putrajaya pilihan raya PBT tidak akan menggugat perpaduan kaum, Raja Kamarul berkata, KPKT sedang mendapatkan pandangan semua pihak bagi memberi gambaran sebenar mengenai pilihan raya PBT.

“Kita juga lihat situasi di India, memandangkan ia merupakan negara demokrasi terbesar dunia. Inilah yang akan dibawa ke Jemaah Menteri, untuk dipertimbangkan apakah implikasinya. Kita juga masih mendapatkan pandangan semua pihak bagi memberi gambaran sebenar,” katanya.