Mangsa banjir kilat di Melaka berkurangan

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Melaka berkata, jumlah mangsa di PPS Balai Raya Bukit Balai mencatat peningkatan, manakala 3 lagi PPS merekodkan jumlah mangsa berkurangan dan 3 lagi tidak berubah. (Gambar Bernama)

MELAKA: Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka pada hari ke-2 menurun kepada 934 mangsa membabitkan 212 keluarga pada 8 malam ini berbanding 1,001 mangsa (225 keluarga) pada petang tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Melaka, Effendy Ali berkata hanya 7 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

Beliau berkata, hanya sebuah PPS mencatat peningkatan mangsa, 3 lagi PPS menurun dan 3 lagi tidak berubah.

“Hanya PPS Balai Raya Bukit Balai mencatat peningkatan, iaitu 40 mangsa daripada 7 keluarga berbanding 34 orang daripada 7 keluarga pada sebelah petang,” katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau yang juga ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka berkata, 3 PPS yang jumlah mangsa berkurangan ialah PPS Krubong dengan 221 orang daripada 55 keluarga, PPS Taman Merdeka dengan 189 mangsa (46 keluarga) dan PPS Kampung Beringin dengan 46 mangsa (12 keluarga).

Katanya, bilangan mangsa banjir di 3 lagi PPS, iaitu PPS Balai Raya Panchor, PPS Sekolah Belimbing Dalam dan PPS Balai Raya Sungai Tuang tidak berubah pada malam ini.