Mitos atau fakta… Air sejuk boleh turunkan berat badan

Mitos jika seseorang itu sedang berdiet, mereka harus menjauhi segala pantang larang termasuklah minum air sejuk adalah tidak tepat.

Ini kerana air sejuk tidak akan menyebabkan berat badan bertambah, tetapi boleh membantu menurunkan berat badan, sekaligus menaikkan metabolisme.

Namun anda perlu ingat minuman sejuk yang diambil itu bukanlah minuman manis, ia hanyalah air sejuk kosong semata-mata.

Terdapat 1 lagi mitos lain, bahaya meminum air lepas makan kerana ia punca kepada obesiti.

Penjelasan yang diberikan netizen adalah mereka percaya bahawa jika air sejuk diminum selepas makan ia akan menyebabkan lemak menjadi beku dan kemudian menjadi lemak pada bahagian perut.

Dan inilah punca obesiti kata mereka.

Namun anda perlu tahu bahawa lemak terdiri daripada 2 kompaun iaitu glycerol dan fatty acid yang bergabung menjadi triglyceride.

Triglyceride inilah lemak yang kita katakan sebelum ini.

Disebabkan triglyceride bersifat hydrophobic (takut kepada air), ini membuatkan ia tidak larut di dalam air.

Sedangkan enzim lipase yang digunakan untuk menguraikan lemak tersebut adalah jenis yang larut dalam air sahaja.

Gabungan glycerol dan 3 kompaun fatty acid akan menghasilkan kompaun triglyceride (lemak)

Badan mengatasi perkara ini dengan merembaskan garam hempedu yang akan membuatkan gumpalan lemak tadi pecah menjadi gumpalan yang kecil.

Gumpalan yang kecil ini akan meningkatkan luas permukaan untuk enzim lipase menguraikan lemak tersebut.

Ketika mana ia telah diuraikan menjadi glycerol dan fatty acid, barulah ia akan diserap oleh dinding usus dan akan dibawa ke seluruh anggota badan yang lain untuk digunakan sebagai tenaga ataupun tempat penyimpanan tenaga seperti lemak.

Jika lemak terlebih simpan, itulah penyebab kepada obesiti.

Sebelum ini dikatakan minum air sejuk akan menyebabkan penggumpalan lemak yang tidak boleh dicernakan oleh badan dan menyebabkan ia berkumpul di perut dan menjadi penyebab kepada obesiti.

Oleh itu, perlu difahami bahawa minum air sejuk tidak menyebabkan kegemukan malah ada juga kajian yang menyatakan jika kita meminum air yang sedikit sejuk, ia akan meningkatkan metabolisma badan kita dan menyebabkan penurunan berat badan.

Bukan peningkatan berat badan.

Sebagai tambahan, air kosong tidak mempunyai sebarang kalori di dalamnya.

Ini bermaksud ia tidak mempunyai apa-apa tenaga untuk ditukarkan kepada lemak.

Jadi jika anda ingin minum air sejuk, silakan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]