NGO bakal adakan perarakan aman gesa pindaan akta perhutanan

Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil merayu rakyat menyertai perarakan aman ke Parlimen pada 18 Julai ini bagi memberikan sokongan terhadap usaha memastikan pengurusan hutan di negara ini menjadi lebih mampan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pencinta alam sekitar menggesa pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menangani isu yang timbul daripada permasalahan pengurusan hutan.

Presiden Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil ini kerana kerajaan dilihat tidak proaktif meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan khazanah alam dapat dikekal, dipelihara dan diuruskan dengan cara mampan.

“Pembalakan haram tidak dianggap sebagai satu jenayah yang serius.

“Terdapat pihak berkuasa negeri yang semakin giat mengeluarkan status tanah hutan simpanan kekal dan memberikan lesen pembalakan kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan simpan dan juga di kawasan tanah adat Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariffa Sabrina berkata pihaknya telah mengadakan beberapa rundingan dengan rakyat, NGO, agensi kerajaan dan pakar alam sekitar.

Beliau juga berkata mulai hari ini, Peka akan mendekati ahli Parlimen kedua-dua belah pihak bagi menerangkan intipati penting berhubung cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu.

Pada 18 Julai ini, Shariffa Sabrina berkata Peka akan mengadakan satu perarakan aman ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum cadangan pindaan itu kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Peka amat mengalu-alukan dan merayu seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyertai perarakan aman ini bagi memberikan sokongan terhadap usaha Peka memastikan pengurusan hutan di negara ini menjadi lebih mampan.

“Kami juga yakin perarakan ini akan memberikan kesedaran dalam kalangan mereka yang masih tidak menyedari betapa pentingnya hutan kita ini untuk mengekalkan kehidupan yang berkualiti,” katanya.