PAS alu-alukan muafakat politik dengan semua parti, tapi setia bersama Umno

Tuan Ibrahim Tuan man mengingatkan parti politik Melayu lain tidak menafikan kekuatan Umno-PAS.

KUALA LUMPUR: Walaupun menjalin kerjasama politik dengan Umno, PAS masih mengalu-alukan sebarang bentuk muafakat politik dengan parti lain.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia termasuk PPBM susulan pelawaan Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu.

“Bagi kita penyatuan sebenar masih bersama PAS dan Umno.

“Kita (PAS) dalam muafakat, mengalu-alukan semua muafakat parti politik, tetapi kita memang konsisten dengan Umno.

“Dalam konsep penyatuan, harus ingat Umno masih menjadi ‘core’ kepada parti politik Melayu Islam di Malaysia,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pelawaan Mahathir kepada parti politik Melayu lain untuk menyertai PPBM bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Jumaat lalu, perdana menteri dilaporkan berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini berpecah kepada 6 parti.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan parti politik Melayu lain tidak menafikan kekuatan Umno-PAS.

“Gabungan 2 parti ini (PAS-Umno) asas, parti-parti lain harus lihat kepada kekuatan yang ada pada Umno dan PAS.”