Terlalu bergantung pada kerajaan punca Bumiputera tak ramai jadi usahawan

Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan 50,000 Bumiputera terlibat dalam bidang keusahawanan dalam tempoh setahun.

PETALING JAYA: Sikap bergantung kepada bantuan kerajaan dilihat sebagai antara punca Bumiputera kurang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Hatta Md Ramli.

Hatta berkata, statistik diperoleh Kementerian Pembangunan Usahawan mendapati hanya 40% daripada 1 juta syarikat didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan syarikat milik Bumiputera.

“Memang ada statistik dan persepsi menggambarkan Bumiputera agak ketinggalan. Ada kebenaran di situ. Antara puncanya adalah kurang latihan kemahiran keusahawan serta minda usahawan dalam kalangan Bumiputera.

“Kurang dorongan dan minat Bumiputera untuk meneroka peluang baru dalam bidang keusahawanan, banyak bergantung pada bantuan kerajaan untuk menjadi usahawan, sedangkan kejayaan usahawan itu kebanyakannya bergantung pada inisiatif mereka sendiri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Hatta berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang memintanya menjelaskan apakah sebab Bumiputera kurang menjadi usahawan serta perlukan silibus pendidikan di sekolah dirombak untuk menerapkan ilmu keusahawanan sebagai subjek tetap dan wajib lulus.

Menurut Hatta, kementeriannya menyasarkan seramai 50,000 Bumiputera terlibat dalam bidang keusahawanan dalam tempoh setahun. Bagaimanapun, pihaknya masih tidak mempunyai statistik berapakah jumlah usahawan Bumiputera yang gagal dalam bidang berkenaan.

Mengulas mengenai keperluan bagi mengubah silibus pendidikan serta mewajibkan bidang keusahawan menjadi sebagai subjek teras, Hatta menjelaskan kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai usaha tersebut.

“Kita tidak nafikan pendidikan menjadi asas untuk meningkatkan minat dalam bidang keusahawanan, tetapi untuk merubah kokurikulum dan mengubah silibus pendidikan di sekolah, ia perlu ada kajian mendalam,” katanya.