3 kontraktor Johor didenda RM15,000 selepas mengaku buang sisa binaan

Wakil sebuah daripada 3 syarikat yang didakwa membuang sisa pepejal di kawasan tidak dibenarkan hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Tiga syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal di kawasan tidak dibenarkan di sekitar Johor Bahru dari Julai 2018 hingga Januari lalu.

Hakim, Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Toh Loh Construction Sdn Bhd, Nine Three Three Renovation & Enterprise dan CK Kim Trading selepas 3 syarikat itu melalui wakilnya mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan hakim.

Toh Loh Construction yang diwakili Pengarahnya, Chung Hoong Kong didakwa melonggok sisa pepejal binaan terkawal di 2 lot tanah di Mukim Plentong pada 3.15 petang 17 Julai 2018.

Bagi pertuduhan ke-2 pula, syarikat terbabit melonggok sisa pepejal isi rumah di lot sama pada waktu sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta sama.

Jika sabit kesalahan, denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, denda RM15,000 itu hanya untuk pertuduhan pertama, manakala hakim memberi amaran kepada syarikat itu untuk pertuduhan ke-2.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala syarikat terbabit diwakili peguam, Lu Hon San.

Sementara itu, Nine Three Three Renovation & Enterprise yang diwakili Pengurusnya, Lee Wai Ping, didakwa melonggok sisa pepejal binaan di Lot 2008, Kampung Ladang Darat Mukim Tanjung Kupang kira-kira 12 tengah hari 30 Januari lalu.

Bagi CK Kim Trading yang diwakili Pengarahnya, Lee Keow Heok, syarikat terbabit didakwa melonggok sisa pepejal binaan di lot tanah rizab pengaliran elektrik milik Tenaga Nasional Bhd di Taman Impian Emas, Mukim Tebrau pada kira-kira 11.56 pagi 22 November 2018.

Untuk pertuduhan itu, kedua-dua syarikat terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta sama.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap Nine Three Three Renovation & Enterprise dilakukan oleh pegawai pendakwa SWM Corp, Rubiah Maulud, manakala pertuduhan ke atas CK Kim Trading dilakukan pegawai pendakwa SWM Corp, Rosmawati Rabiah Hashim. Kedua-dua syarikat itu tidak diwakili peguam.