3 maut disyaki bom ikan mungkin pembunuhan terancang, kata polis

Omar Mammah (tengah) memeriksa barisan pada perhimpunan bulanan kontinjen polis Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Polis menahan 10 suspek dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan terancang dalam kematian 3 penyelam di Semporna yang pada awalnya disyaki akibat bom ikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah berkata siasatan sedang dijalankan daripada pelbagai sudut dan pembunuhan terancang hanya satu anggapan buat masa ini.

“Setakat ini ia lebih kepada pengeboman ikan. Kita akan tahu lebih lanjut selepas bedah siasat ke atas mangsa hari ini,” katanya selepas perhimpunan bulanan kontinjen polis Sabah di sini, hari ini.

Tiga penyelam itu dikenal pasti sebagai 2 warga China, Zhao Zhong dan Xu Yingjie, kedua-duanya berusia 26 tahun serta seorang jurulatih selam, Ab Zainal Abdu, 30, maut ketika menyelam di Pulau Kalapuan, Semporna pada 5 Julai lalu.

Polis kemudiannya menahan seorang pemandu bot dan pembantunya yang berusia 24 dan 23 tahun.

Hari ini, Omar berkata, 10 suspek termasuk bajau laut ditahan berkaitan kes itu.

Katanya, pemandu bot dan pembantunya ada kaitan dengan Zainal, serta mangsa menaiki sebuah bot bersama 7 individu lain.

“Selepas ketiga-tiganya turun dari bot untuk menyelam kira-kira 2.30 petang, jurulatih selam (Zainal) beritahu mereka untuk pulang ke jeti tidak jauh bagi mengambil tangki oksigen.

“Bagaimanapun, ketiga-tiganya tidak patut ditinggalkan tanpa sebarang pemantauan,” katanya sambil menambah bot itu kembali ke tempat kejadian kira-kira sejam kemudian.

Tetapi, katanya, mangsa tidak kelihatan dan saksi memberitahu polis, mereka ternampak buih di permukaan laut, batu karang rosak dan bangkai ikan terapung – semua tanda aktiviti bom ikan.

“Seorang pelancong China menemui seketul batu karang di atas badannya.”

Omar berkata, serpihan botol dipercayai sebahagian bom ikan sudah dihantar untuk dianalisis.

Katanya, ada saksi mendakwa ternampak sebuah bot bersama 2 lelaki mendekati lokasi 3 mangsa menyelam.

“Seorang daripada mereka mendayung, manakala seorang lagi berdiri,” katanya yang enggan mengesahkan jika mereka antara suspek ditahan polis baru-baru ini.

Beliau berkata, Zainal yang dilaporkan mempunyai kad pengenalan Malaysia sebenarnya memiliki dokumen IMM13.

IMM13 ialah pas pelawat yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada warga Filipina melarikan diri ke Sabah susulan pergolakan di selatan negara itu pada awal 1970-an.

Pemegang kad IMM13 dibenarkan tinggal di Sabah dan Labuan serta bekerja tanpa perlu memiliki permit. Mereka juga dibenarkan ke sekolah dan mendapat perkhidmatan perubatan kerajaan.