Bakar kereta mufti Perlis: Reman Mie Tomoi disambung 2 hari

Kereta rasmi jenis Honda Accord yang digunakan Asri Zainal Abidin dibakar pada pukul 5.45 pagi 22 Mac lepas. (Gambar Bernama)

KANGAR: Tempoh reman seorang duda yang merupakan suspek terakhir dalam kes membakar kenderaan rasmi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin disambung 2 hari lagi, esok dan Khamis ini, selepas tempoh asal selama 4 hari berakhir hari ini.

Lelaki berumur 48 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Sekolah, Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah pada kira-kira pukul 4 pagi, Sabtu lepas (6 Julai).

Ketua Polis Daerah Kangar Wari Kiew berkata polis memerlukan lebih masa untuk menyoal siasat lelaki itu dipercayai perancang utama yang membakar kereta rasmi jenis Honda Accord yang digunakan Asri pada pukul 5.45 pagi 22 Mac lepas.

Enjin kereta milik kerajaan negeri itu musnah manakala cermin depan dan belakang dipercayai dipecahkan oleh beberapa lelaki di kediaman rasmi mufti itu di Jalan Persiaran Wawasan, Seriab.

Empat lagi suspek kes itu yang ditangkap kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 24 Mei lepas, seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abd Razak, 36, didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membakar kenderaan itu dengan beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Azimar didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.