China dapat faedah jika Lynas disekat, kata pakar

Lynas sedang menunggu pembaharuan lesen operasi selepas ia tamat pada September tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: China akan mendapat faedah paling banyak jika Malaysia menyekat operasi pengeluar nadir bumi Lynas, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak memberitahu FMT, hubungan Malaysia dengan Jepun juga mungkin terjejas kerana Jepun bergantung kepada Lynas untuk 1/3 daripada keperluan bumi nadirnya.

Malaysia menetapkan syarat pembaharuan lesen ke atas Lynas iaitu lebih 400,000 tan daripada sisa yang dikeluarkan di kilang pemprosesannya di Pahang harus dihantar ke Australia, namun Australia enggan menerima sisa tersebut.

Barjoyai berkata kerajaan Malaysia berada dalam kedudukan yang sukar kerana Pakatan Harapan selama bertahun-tahun memberitahu orang ramai bahawa sisa itu berbahaya, walaupun Lynas mengatakan bahan itu berisiko rendah.

Barjoyai Bardai

“Kita perlu mencari jalan untuk menguruskan sisa tersebut, mungkin kita boleh melibatkan Jepun yang mempunyai teknologi lebih maju untuk membantu kita mencari jalan untuk menggunakan semula sisa itu.”

Profesor Universiti Harvard, Joseph S Nye Jr baru-baru ini menjelaskan hubungan kuat antara Jepun dengan Lynas, yang memenuhi hampir 1/3 permintaan nadir bumi Jepun.

Barjoyai berkata Jepun adalah pengimport terbesar dunia bagi nadir bumi. China, pengeksport nadir bumi terbesar dunia juga mengurangkan eksportnya, yang menjadikan Lynas amat penting untuk Jepun.

“Apa-apa gangguan kepada Lynas akan menjejaskan Jepun. Ini, sebaliknya, boleh menjejaskan Malaysia pada masa kita mencari bantuan ekonomi dari Jepun,” katanya.

Monopoli China terhadap bekalan nadir bumi akan bertambah kuat jika operasi Lynas terganggu.

Yeah Kim Leng.

Seorang lagi pakar ekonomi, Yeah Kim Leng, berkata perang perdagangan AS-China yang berpanjangan boleh memaksa pengguna nadir bumi untuk mempelbagaikan sumber bekalan mereka.

“Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan eksport nadir bumi, dan pergantungan yang lebih besar terhadap Lynas akan memberi manfaat kepada Malaysia,” kata Yeah, yang bekerjasama dengan Fakulti Perniagaan Universiti Sunway.

“Masalah utama dengan Lynas berkaitan dengan pelupusan sisa, tetapi Lynas dan kerajaan harus mencapai resolusi yang lebih kekal. Apa-apa gangguan terhadap operasi Lynas akan mengukuhkan kawalan China ke atas bekalan nadir bumi.”

Lesen operasi Lynas di Malaysia tamat pada September. Kerajaan berkata lesen itu akan diperbaharui, tetapi Menteri Alam Sekitar Yeo Bee Yin, tahun lepas berkata Lynas perlu mengeluarkan sisanya sebelum lesennya boleh diperbaharui.