Isu kepentingan pesawah, nelayan dibincang di Parlimen hari ini

Nasib nelayan dan pesawah akan dibincangkan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR: Isu kepentingan pesawah dan nelayan merupakan antara perkara yang bakal dibincangkan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai dasar penyatuan tanah bagi sektor padi, serta jaminan kerajaan terhadap kepentingan pesawah dalam pelaksanaan langkah itu, ketika sesi soal jawab lisan.

Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) pula bertanyakan menteri dalam negeri mengenai langkah segera yang diambil bagi mengekang masalah pencerobohan nelayan asing.

Perkara berkenaan dijangka dikupas dengan lebih mendalam ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Melalui RUU itu, denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dicadang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Ahli Parlimen dijangka turut menyentuh insiden 2 pelancong asing dan seorang warga tempatan yang maut ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pulau Kulapuan, berhampiran perairan Semporna, Sabah akibat terkena bom ikan dibaling nelayan pada Jumaat lepas, ketika perbahasan rang undang-undang itu.

Turut dijangka menarik perhatian pada sidang dewan hari ini ialah soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) kepada menteri kewangan mengenai rasional hasrat kerajaan untuk mengambil alih pengendalian lebuh raya Kesas, LDP, Sprint dan Terowong Smart milik Gamuda Berhad dengan tawaran RM6.2 bilion, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus sidang dewan bermula pada 10 pagi ini.