Mansuh Akta Hasutan sekarang, kata Pemuda PKR selepas pensabitan Wan Ji kekal

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Pemuda PKR terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan pensabitan ahlinya, Wan Ji Wan Hussin, seorang penceramah bebas, kerana membuat kenyataan menghasut terhadap Sultan Selangor, dan menaikkan hukuman penjara kepada 1 tahun daripada 9 bulan.

Ketua Pemuda Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata PKR menghormati pemisahan kuasa mahkamah dan kerajaan tetapi keputusan itu harus mendorong Putrajaya memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Perkembangan ini harus mendesak semua pihak lebih serius mengenai reformasi,” katanya kepada FMT.

“Saya kesal dan susah hati Akta Hasutan masih ada walaupun berulang kali kita kata mahu mansuhkannya. Hari ini, ia digunakan untuk menghukum aktivis.”

Beliau menambah Pemuda PKR akan menghubungi keluarga Wan Ji untuk membantu mereka dalam apa cara yang perlu.

Wan Ji didakwa bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara 3 tahun atau kedua-duanya.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 9 bulan pada April tahun lepas kerana kenyataan yang dibuat di Facebook pada 2012.

Peguam Lim Wei Jiet terkejut Jabatan Peguam Negara meneruskan rayuan untuk menaikkan hukuman penjara terhadap Wan Ji.

Beliau berkata kerajaan patut memansuhkan Akta Hasutan dan mengenakan moratorium ke atas semua pertuduhan bawah akta itu.

“Hari yang amat menyedihkan. Saya berharap Jabatan Peguam Negara pada depan akan pertimbangkan untuk tidak merayu kes-kes hasutan dan menggugurkan semua kes seperti itu seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH,” katanya kepada FMT.