Serah pada polis siasat dakwaan rogol terhadap wakil rakyat DAP, kata Nga

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata tindakan sewajarnya akan diambil.

PETALING JAYA: DAP Perak menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan serangan seksual terhadap seorang wakil rakyat parti itu.

Pengerusi Nga Kor Ming berkata DAP berpendirian tiada siapa pun mengatasi undang-undang.

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil, bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan polis sedang menyiasat seorang Exco Perak selepas pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, menuduhnya menyerang secara seksual.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Choo Lily mengesahkan satu laporan dibuat semalam dan lelaki itu sedang disiasat atas dakwaan rogol.

Polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa.

Wakil rakyat berkenaan menafikan dakwaan itu, menurut laporan Sin Chew Daily.