Tiada keputusan ambil alih lebuh raya dari Gamuda, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Putrajaya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pembelian 4 lebuh raya daripada Gamuda Bhd.

“Belum buat apa-apa,” ” katanya selepas menghadiri dialog bersama ketua eksekutif industri pada majlis penutupan persidangan TVET hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran untuk mengambil alih kepentingan dalam 4 pengendali lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion; Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion); KESAS Sdn Bhd (RM1,377 bilion) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) pada nilai RM369 juta.

Pengambilalihan itu seiring dengan pengumuman kerajaan pada Februari lalu yang bercadang untuk mengambil alih 4 lebuh raya terbabit, sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya.

Gamuda Bhd yang juga pemegang saham terbesar dalam keempat-empat pengendali lebih raya dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, sudah menerima tawaran daripada Kementerian Kewangan.

Tawaran dikemukakan itu bagi mengambil alih semua kepentingan termasuk saham biasa, saham keutamaan dan saham pinjaman.

Gamuda Bhd memiliki 70% kepentingan dalam Kesas; Sprint (52%); Litrak (44%) dan Smart (50%).