Umno: Kami sambut baik hasrat Dr M menyatukan Melayu tetapi…

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Umno hari ini menyambut baik hasrat Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad menyatukan Melayu tetapi mereka akan meneruskan kerjasama dengan PAS, sebagai perintis kepada muafakat nasional “yang lebih besar”.

Meskipun begitu, Setiausaha Agung Annuar Musa berkata, Umno mendoakan Mahathir diberi kekuatan untuk menjayakan penyatuan Melayu, kerana ia memahami kesukaran melaksanakannya melalui PPBM.

“Kerana kekangan yang dihadapi parti itu akibat tentangan daripada parti komponen Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada Mahathir.

“PPBM tidak boleh menjadi wadah penyatuan orang Melayu selagi mereka bergantung kepada talian hayat daripada parti bukan Melayu dalam PH, khasnya DAP.”

Oleh itu, Umno akan meneruskan usaha bekerjasama dengan PAS, yang akan dipandu oleh suatu piagam bersama ke arah membentuk penyatuan yang lebih besar.

“Kita amat menghargai keprihatinan anda tentang politik orang Melayu, satu isu yang amat dekat di hati dan perjuangan politik anda sendiri,” katanya.

“Kita percaya anda tetap punya peranan dan komitmen ke arah penyatuan dan perpaduan Melayu. Tinggal lagi, pendekatan yang lebih praktikal dan berkesan perlu terus dicari.”

Pada Jumaat, Mahathir mempelawa parti-parti Melayu menyertai PPBM dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu, yang lemah kerana perpecahan politik.

Tidak lama kemudian, Annuar dalam kenyataan berkata PPBM bagaimanapun bukan jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu, dan parti itu pasti mati selepas ketiadaan Mahathir sebagai perdana menteri.