Waspada… Telefon pintar boleh digodam sepantas seminit, kata pakar ‘hacking’

Jika anda berasa selamat dengan perincian yang digunakan pada telefon bimbit supaya tidak digodam, anda salah.

Ini kerana terdapat pelbagai cara yang sangat mudah untuk menggodam dan mengakses semua data yang ada pada telefon bimbit anda.

Kebanyakannya berlaku tanpa disedari, sama ada sistem tersebut wujud dalam telefon bimbit anda mahupun melalui wifi percuma yang digunakan di mana-mana lokasi anda berada.

Menurut pakar teknologi maklumat, Ridzman Azzahari, salah satu sistem yang digunakan penggodam adalah “Parental Monitoring” yang boleh diperolehi secara percuma di Internet.

Ridzman Azzahari.

Tujuan asalnya digunakan ibu bapa untuk mengawal perilaku anak-anak menggunakan telefon bimbit, namun ia disalahgunakan untuk membuat intipan, terutama oleh pasangan suami isteri dan kekasih.

“‘Hack’ ini kerja yang sangat mudah, sepantas seminit kita boleh lakukan,” katanya kepada FMT.

“Contohnya anda tertarik dengan ‘link’ berita yang muncul di telefon bimbit yang membuatkan anda ingin baca, sekali anda klik, tapi berita itu pergi ke berita lain.”

Ridzman berkata apa yang boleh berlaku disaat itu telefon bimbit anda sedang digodam, menggunakan nombor telefon anda, dan penggodam akan dapat segala data semudah itu sahaja.

Cara lain yang mungkin tidak ramai ketahui adalah ketika anda menggunakan wifi percuma di tempat awam.

“Waktu anda gunakannya tiba-tiba wifi terpadam dan kemudian tersambung kembali seperti biasa, ketika itulah semua data anda diakses oleh penggodam,” katanya.

Beliau berkata tiada jenama atau sistem operasi yang kebal. Tambah Ridzman lagi, telefon bimbit anda juga belum tentu selamat meskipun ia dimatikan.

“Selagi namanya telefon bimbit, ia tetap boleh digodam,” katanya.

“Mereka akan tahu lokasi, data apa yang ada, boleh mengambil gambar anda yang sedang menggunakan telefon bimbit pada ketika itu, serta boleh merekod suara di sekeliling telefon bimbit tersebut,” jelasnya.

Sebab itu Ridzman menasihatkan jangan menggunakan telefon bimbit dalam tandas kerana penggodam boleh mengaktifkan kamera hadapan dan belakang tanpa anda sedari.

Tips untuk anda ketahui telefon bimbit sedang di “hack” adalah melalui 2 cara, iaitu jika bateri telefon bimbit anda habis dengan cepat atau telefon bimbit tersebut secara tiba-tiba panas.

Jika anda sangsi telefon bimbit anda telah digodam, anda perlu “reset” telefon bimbit kepada “factory setting” dimana semua data dan maklumat akan hilang secara automatik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]