Bersih sokong umur calon pilihan raya 18 tahun

Semalam, PAS menggesa kerajaan turut menurunkan had usia menjadi calon pada pilihan raya kepada 18 tahun.

PETALING JAYA: Bersih menyuarakan sokongannya terhadap gesaan pembangkang untuk menurunkan had usia menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun.

“Ia menggalakkan anak-anak muda terlibat dalam pembinaan negara,” kata Thomas Fann, pengerusi kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih.

Fann memberitahu FMT, beliau percaya penurunan umur minimum bagi calon akan selaras dengan cadangan menurunkan usia mengundi dan pengiktirafan bahawa 18 adalah usia majoriti.

“Persoalannya sama ada calon 18 tahun itu boleh menjadi wakil pilihan yang baik, biar pengundi yang membuat keputusan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan yang mengulas pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi 18 tahun pada minggu lalu, berkata pembangkang akan bersetuju dengan RUU itu jika turut menurunkan had usia menjadi calon pada pilihan raya kepada 18 tahun.

Pada Isnin, perdana menteri mengumumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju memasukkan pendaftaran automatik dalam pindaan tersebut.

RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan ke-2 Selasa depan.

Pindaan perlembagaan memerlukan majoriti 2/3 atau sekurang-kurangnya 148 undi. Pakatan Harapan mempunyai 139 ahli Parlimen.

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata ia akan menjadi pelik sekiranya individu berusia 18 tahun dibenarkan mengundi tetapi dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya.

Fann menyatakan individu berumur 18 tahun di kebanyakan bahagian dunia telahpun mengundi dan ada yang bertanding dalam pilihan raya.

“Apa yang perlu diubah ialah sikap meninggi diri kita terhadap golongan muda. Kita perlu mula percaya terhadap keupayaan mereka untuk berfikir dan membuat keputusan. Kita memerlukan idealisme dan keghairahan yang boleh ditawarkan oleh golongan muda,” katanya.

Beliau mengulangi gesaan yang dibuat sebelum ini untuk permulaan pendidikan sivik di peringkat sekolah rendah.