BN kalah bawah siapa, Nazri persoal pelantikan Najib

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Nazri Aziz mengkritik pelantikan bekas presiden Umno, Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat gabungan itu.

Menyifatkan langkah itu sebagai regresif, Nazri meragui Najib, yang kembali popular dengan fenomena ‘bossku’, boleh menasihati BN.

“BN kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang dia boleh sumbangkan kepada kita?” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Nazri juga tidak yakin Najib boleh membaik pulih prestasi Umno.

“Saya tak rasa macam tu,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata pelantikan Najib ini kemungkinan untuk memprovokasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata surat pelantikan Najib ditandatangani oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Najib.

“Mereka semua sedang didakwa di mahkamah,” katanya.

Semalam, Dewan Tertinggi BN sebulat suara melantik Najib sebagai pengerusi penasihatnya untuk membantu BN mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin juga tidak setuju dengan pelantikan Najib sebagai penasihat BN.

“Tiba-tiba saya tidak begitu gembira di mana saya berada sekarang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.