Exco Perak nafi rogol pembantu rumah

Exco Perak Paul Yong Choo Kiong. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Exco Perak Paul Yong Choo Kiong menafikan sekeras-kerasnya tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang wanita warga Indonesia.

Paul berkata beliau amat terkejut dan keliru dengan tuduhan palsu tersebut, mengatakan beliau tidak pernah merogol, mencabul kehormatan atau melakukan apa-apa gangguan terhadap mangsa.

“Bagi membersihkan diri saya daripada pertuduhan bersifat fitnah tersebut, saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Paul juga berkata beliau menghormati proses undang-undang dan percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

“Saya percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan,” katanya.

Terdahulu, polis Perak menahan Paul untuk siasatan lanjut terhadap tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya.

Semalam, media melaporkan mangsa membuat laporan polis di Balai Jelapang Isnin lepas, mendakwa dirogol exco berkenaan di rumahnya, dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.