‘Fast track’ proses cerai elak wanita digantung tak bertali

Kes perceraian yang tinggi sebenarnya disebabkan faktor kepadatan penduduk, kata Jabatan Kehakiman Syariah Selangor. (Gambar fail)

SHAH ALAM: Proses kerja kes cerai “fast track” yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) bukan untuk menggalakkan masyarakat Islam bercerai hingga menyumbang kepada kadar kes yang tinggi.

Jakess dalam kenyataan hari ini berkata, kesan inisiatif ini dilihat menggalakkan para suami bagi sesuatu perkahwinan yang pecah belah untuk menceraikan isteri secara baik hingga tidak berlaku kejadian “wanita digantung tidak bertali”.

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baru secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain.

“Ini sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Jakess menjelaskan jumlah kes perceraian yang tinggi di Selangor sebenarnya disebabkan faktor kepadatan penduduk berbanding negeri-negeri lain.

Menurut kenyataan itu, proses kerja kes cerai secara “fast track” juga hanya digunapakai sekiranya beberapa syarat dipenuhi.

Ini termasuk penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni; isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut.

Di samping itu, mahkamah berpuas hati berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.

Dalam hal ini, kes perceraian akan diselesaikan dalam tempoh 6 jam daripada masa pemfailan kes.

Semalam, isu perceraian dalam masa 6 jam di Selangor dibangkitkan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias pada sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa proses perceraian ekspres antara punca negeri terbabit mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.