Jamal Yunos lelong resort di Sekinchan, dakwa akibat tekanan PH

Jamal Yunos melelong Sekin Fishermen Village Hotel & Resort pada harga siling RM4.5 juta.

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos mendakwa beliau terpaksa menjual sebuah resort di Sekinchan yang diusahakannya sejak 13 tahun lalu kerana perniagaan itu merosot akibat tekanan Pakatan Harapan.

Beliau melelong Sekin Fishermen Village Hotel & Resort pada harga siling RM4.5 juta kerana perniagaan itu merosot selepas Barisan Nasional kalah mengejut pada pilihan raya umum tahun lalu.

“Saya dapat tekanan yang cukup hebat dari kawan-kawan Pakatan Harapan. Mereka tidak dapat bezakan antara perniagaan dan politik.

“Mereka beri tekanan dengan menyekat agensi kerajaan yang berkaitan supaya tidak menggunakan atau menyewa kemudahan di Sekin Fishermen Village Hotel & Resort.

“Disebabkan itu pendapatannya agak merosot, namun sehingga kini, ia masih beroperasi seperti biasa,” katanya kepada FMT hari ini.

Iklan melelong hartanah seluas 3,509 kaki persegi itu dimuat naik ke satu akaun Facebook yang memaparkan lelongan hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jamal berkata, tekanan demi tekanan menyebabkan beliau tiada pilihan kecuali menjual perniagaan itu kepada pemilik baru yang tiada kaitan dengan dirinya.

“Saya sayangkan Sekin Fishermen Village Hotel & Resort sebab itulah pemilik baru ini tidak seharusnya dibayangi diri saya. Pada masa sama, saya juga ingin fokus kepada perniagaan lain.”

Pada Disember 2016, resort itu menjadi perhatian media selepas disita dan beberapa strukturnya dirobohkan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) atas alasan ia menjalankan aktiviti tanpa lesen sah di bawah Undang-undang Kecil Hotel MDSB 2013.

Pada Disember 2016, Jamal memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor dan 2 pihak lain kerana menyita dan merobohkan sebahagian hotelnya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagaimanapun membatalkan saman itu dan menyatakan tindakan MDSB menyita serta merobohkan resort yang dibina atas tanah kerajaan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah sah.