Jangan lantik wakil rakyat, senator dalam GLC, kata pemimpin DAP

RSN Rayer ialah ahli Parlimen Jelutong.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP Pulau Pinang menggesa kerajaan melarang ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dilantik ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, larangan itu perlu bagi mengelakkan amalan rasuah atau salah laku berleluasa dalam sektor awam.

“Adakah ia satu cadangan yang baik sekiranya kita melarang wakil-wakil rakyat daripada memegang jawatan-jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

“Kalau mereka itu dilantik sebagai senator dan sebagainya, saya bersetuju dengan Tumpat larangan itu seharusnya dikenakan.

“Sama ada wakil rakyat itu menang atau dilantik senator, itu cukup syarat ia sebagai wakil rakyat dan larangan itu perlu dikenakan,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahas usul Rang Undang-undang Syarikat (Pindaan) 2019.

Terdahulu, Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) bertanya kepada Rayer jika beliau bersetuju pemimpin Pakatan Harapan yang dilantik senator dilarang memegang jawatan penting dalam GLC.

Antara pemimpin PH yang dilantik senator dan memegang jawatan penting dalam GLC ialah Husam Musa yang dilantik pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) pada 1 Mac lalu dan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali yang dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).