KDN lantik pegawai SPRM, pengamal undang-undang ke pasukan siasat kes Amri, Koh

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pelantikan seorang pegawai badan anti-rasuah dan seorang pengamal undang-undang bebas ke pasukan petugas khas menyiasat dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mengenai kes kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan seorang pastor, Raymond Koh.

Pelantikan mereka menyusuli penarikan diri bekas ketua bahagian perundangan polis itu, Mokhtar Mohd Noor susulan bantahan daripada pihak keluarga dan badan-badan bukan kerajaan.

“Ramai yang memberikan pandangan bahawa komposisi pasukan petugas khas perlu dilihat lebih seimbang dan bebas,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas teguran itu, KDN menambah bilangan anggota pasukan petugas khas daripada 6 kepada 7 termasuk pengerusi, dan melantik Azian Umar, seorang penolong pesuruhjaya di Bahagian Pemeriksaan dan Perundangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Roger Tan Kor Mee, seorang pengamal bebas undang-undang.

Pasukan itu kini hanya dianggotai seorang pegawai polis, iaitu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Zamri Yahya.

“Keanggotaan beliau penting untuk membantu melicinkan perjalanan pasukan petugas khas kerana JIPS mempunyai kuasa bawah undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis tampil memberi keterangan,” katanya.