Parlimen ucap selamat hari jadi kepada Dr M

Mahathir Mohamad genap 94 tahun hari ini.

KUALA LUMPUR: Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof memulakan sidang Dewan Rakyat hari ini dengan ucapan selamat ulang tahun kelahiran kepada Dr Mahathir Mohamad yang genap 94 tahun.

“Pada hari ini, Rabu, 10 Julai 2019 bagi pihak ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia dengan penuh sukacita ingin mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-94 kepada Tun Dr Mahathir.

“Kita sama-sama doa agar Tun dipanjangkan usia dan diberi kesihatan tubuh badan untuk memimpin negara.”

Mahathir mengucapkan terima kasih atas ucapan dan doa itu sebelum memulakan sesi pertanyaan lisan.

Mahathir mencatat rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia, apabila dipilih semula untuk memimpin Malaysia buat kali ke-2 selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Beliau dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925, tetapi tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925.

Mahathir yang mempunyai 9 beradik ialah anak bongsu Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkahwin dengan Dr Siti Hasmah Ali pada 1956 dan dikurniakan 7 anak, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri ke-4 pada 16 Julai 1981 dan beliau menyandang jawatan itu selama 22 tahun, paling lama dalam sejarah Malaysia serta Asia Tenggara.

Beliau diberikan gelaran Bapa Pemodenan atas kejayaannya menukarkan Malaysia daripada negara pertanian kepada perindustrian moden.

Mahathir yang melepaskan jawatan perdana menteri pada 31 Oktober 2003, kembali aktif dalam arena politik tempatan dengan menubuhkan PPBM, sebelum bergabung dengan PKR, DAP dan Amanah untuk membentuk Pakatan Harapan bagi menentang kerajaan Barisan Nasional menjelang PRU14.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Mahathir.

“Saya doakan yang terbaik untuknya pada hari jadi beliau,” tulisnya di Facebook yang disertakan sekeping gambar beliau dan isterinya, Ho Ching bersama Mahathir dan Siti Hasmah ketika lawatannya ke republik itu sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu.

“Kami namakan bunga orkid Dendrobium Mahathir Siti Hasmah, penghormatan buat mereka,” katanya sambil mengalu-alukan pasangan itu menghadiri perarakan Hari Kebangsaan Singapura bulan depan.