Seminar perpaduan Islam dibatal selepas ugutan bom kumpulan anti-Syiah

Polis memaklumkan satu laporan dibuat pada 9 Julai lepas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis berkata pembatalan seminar mempromosikan Mesej Amman yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini bukan atas nasihat atau bantahan daripada polis.

Ketua Komunikasi Korporat, Urusetia Ketua Polis Negara, Asmawati Ahmad berkata keputusan dibuat oleh pihak penganjur sendiri untuk tidak meneruskan seminar yang dijadualkan 13 Julai ini.

Asmawati berkata pembatalan itu juga dibuat ekoran terkesannya komen yang diterima penganjur seminar di laman Gerakan Banteras Syiah di Facebook pada 6 Julai lalu daripada pemilik akaun Amirol Md Zain.

“Pemilik akaun Facebook itu berkata “kita bomb tempat nie” di Facebooknya,” katanya kepada FMT.

Asmawati berkata susulan komen itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia, Prof Madya Mohamed Azam Mohamed Adil membuat laporan polis pada 9 Julai lalu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, jurucakap Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang menganjurkan Seminar Mesej Amman, berkata keputusan itu dibuat pengurusan tinggi.

“Ia dibatalkan atas alasan keselamatan, kami dapat arahan pihak pengurusan tinggi,” kata Mohamed Azam Mohamed Adil ketika dihubungi FMT.

Seminar pada 13 Julai itu, yang sepatutnya dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, turut dianjurkan bersama oleh Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) dan firma perundingan, Zubedy.

Ahli panel seminar itu termasuk cendekiawan Hashim Kamali yang juga ketua pegawai eksekutif IAIS, ahli akademik, Osman Bakar dan Kamar Oniah Kamaruzzaman serta aktivis sosial terkenal, Chandra Muzaffar.