Waytha yakin usaha PH tangani masalah kaum India

Kerajaan berhasrat menaikkan status sosial dan ekonomi masyarakat India menerusi pasukan petugas khas.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilihat yakin bahawa kerajaan akan berjaya menaikkan status sosial dan ekonomi masyarakat India menerusi pasukan petugas khas yang diumumkan minggu lalu.

Beliau memberitahu FMT, pasukan itu akan menyelesaikan punca permasalahan masyarakat itu dan menanganinya melalui rancangan dan dasarnya.

“Kami berhasrat untuk melaksanakan pelan 5 tahun,” katanya.

Pasukan petugas khas itu akan terdiri daripada pemimpin masyarakat, pakar dalam pelbagai bidang dan wakil NGO. Waytha menyatakan ia akan menjayakan kerja yang pernah dirancangnya dalam satu unit yang ditubuhkan oleh pentadbiran Putrajaya sebelum ini.

“Ketika saya berkhidmat di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kami menubuhkan sebuah unit khas untuk menyelesaikan isu kaum India untuk menjadikan mereka setanding dengan pembangunan arus perdana, tetapi ia tidak pernah berlaku,” katanya.

Waytha dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013. Beliau meletak jawatan kurang setahun bertugas, menuduh kerajaan gagal memenuhi janji yang dibuatnya kepada kaum India.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago juga bercakap kepada FMT mengenai rancangan kerajaan sekarang untuk masyarakat India.

Beliau berkata sebahagian besar dana untuk Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) disalurkan untuk pendidikan dan berkata beliau percaya ini adalah berlebihan kerana sudah ada program pendidikan seperti pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan.

Beliau berkata lebih baik kerajaan memberi lebih perhatian bagi meningkatkan kemahiran golongan miskin India supaya mereka boleh memiliki perniagaan kecil-kecilan.

“Kini, dengan komputer dan pemasaran digital, mereka tidak perlu mempunyai kedai. Mereka boleh menjalankan perniagaan mereka melalui komputer mereka,” katanya.

Beliau berkata ini adalah pendekatan yang diambil kerajaan Selangor dalam Program Usahawan India Selangor.

“Kami menunjukkan ia berjaya, dan saya fikir kerajaan persekutuan juga boleh belajar daripada pengalaman kami,” katanya.

Zouhair Rosli, seorang penyelidik kanan di DM Analytics, berkata kerajaan perlu jelas tentang penunjuk sosioekonomi yang ingin ditumpukan untuk membantu masyarakat India.

“Jika kita melihat mobiliti sosial, masyarakat India paling teruk. Peluang untuk anak-anak India mendapat pendidikan tinggi berbanding ibu bapa mereka lebih rendah berbanding kaum Bumiputera atau Cina.”

Beliau berkata kadar pengangguran belia adalah tertinggi dalam kalangan masyarakat India. Ia hampir 20%.

Bagaimanapun, kadar kemiskinan lebih tinggi dalam kalangan Bumiputera, terutamanya di Sabah dan Sarawak, kata Zouhair.

“Tumpuan tindakan afirmatif harus diberikan kepada mereka yang layak,” katanya.