11 maut, lebih 60 cedera kereta api bertembung di Pakistan

Pakistan mempunyai sejarah panjang berkaitan nahas kereta api dan jalan raya disebabkan infrastruktur yang lemah dan ketiadaan piawaian keselamatan. (Gambar Twitter)

KARACHI: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 62 lagi cedera selepas 2 kereta api bertembung di timur laut Pakistan pada Khamis pagi, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pegawai dan laporan media tempatan.

Nahas itu, yang terkini dalam beberapa siri insiden serupa, berlaku di daerah Sadiqabad, Punjab – kira-kira 543km (337 batu) dari ibu kota wilayah Lahore – apabila sebuah kereta api penumpang bertembung dengan kereta api barang yang diparkir di sebuah landasan selari, kata Timbalan Pesuruhjaya Sadiqabad Jamil Ahmad kepada pemberita.

Menteri Kereta Api Shaikh Rasheed Ahmad memaklumkan pemberita 1 inkuiri diarah dijalankan berkaitan nahas itu.

Rakaman amatur yang disiarkan stesen tempatan Geo TV menunjukkan anggota pasukan penyelamat memindahkan mayat dan mangsa yang cedera ke dalam ambulans, yang membawa mereka ke hospital.

Ketua Polis Bandar Umer Farooq memberitahu pemberita insiden itu berlaku akibat kesilapan isyarat kerana pemandu kereta api penumpang bertindak menukar landasan secara tiba-tiba sebelum melanggar kereta api barang yang diparkir.

Perdana Menteri Imran Khan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan mengarahkan 1 inkuiri dilakukan berhubung insiden itu.

Dalam perkembangan lain, 13 orang maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbalik di Attock, Punjab, lapor Geo News.

Pakistan mempunyai sejarah panjang berkaitan nahas kereta api dan jalan raya, terutama disebabkan infrastruktur yang lemah dan ketiadaan piawaian keselamatan.