Editor Sarawak Report tak sedar ada tuntutan RM100 juta terhadapnya

PETALING JAYA: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tidak sedar satu tuntutan RM100 juta difailkan terhadapnya oleh V Mabel Muthayyah, bekas ketua sekretariat di Jabatan Peguam Negara, atas dakwaan fitnah.

Rewcastle-Brown berkata dia hanya menerima surat tuntutan, yang diemelkan beberapa hari lalu, menuntut RM100 juta kerana kehilangan pendapatan, selepas Mabel didakwa tidak dapat bekerja untuk Jabatan Peguam Negara susulan penerbitan satu artikel pada 2015.

Beliau berkata artikel itu disiarkan pada Disember 2015 di United Kingdom dan ia oleh itu sudah melepasi had masa statutori untuk aduan-aduan libel di UK.

Artikel itu tidak disiarkan di Malaysia kerana laman itu disekat kerajaan ketika itu, katanya.

“Sesiapa yang membacanya telah melakukan perbuatan yang dianggap haram oleh majikan Mabel. Saya sudah tentu tidak menerima writ rasmi yang perlu dijawab,” katanya.

Rewcastle-Brown mengulas artikel Malaysiakini yang memetik peguam Mabel, David Gurupatham sebagai berkata, tuntutan itu difailkan terhadapnya kerana satu dakwaan amat serius terhadap seorang anggota pentadbiran keadilan.

“Keadaan ini mengelirukan kerana peguam itu tidak menjelaskan di manakah dia akan memfailkan tuntutan itu,” katanya.

Artikel “How AG’s Office connived to prevent a second post-mortem on Kevin Morais – Exclusive expose” mendakwa Mabel menghantar pesanan teks kepada ahli keluaga bekas timbalan pendakwa raya umum itu, menggesa mereka percepatkan pembakaran mayat bagi mencegah bedah siasat kedua.

Rewcastle-Brown memberitahu FMT, Mabel mengadu dia tidak memberikan hak untuk menjawab kepadanya, “tetapi dia juga tidak menghubungi laman kami pada ketika itu untuk melaporkan sebarang respon atau pembetulan pada kandungannya,” katanya.

Mayat Morais ditemui dalam satu tong dram selepas dia diculik dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.