FB anti-Syiah jadi tumpuan selepas seminar perpaduan Islam batal diancam bom

Facebook ‘Gerakan Benteras Syiah’ merupakan salah satu laman sosial yang mensasarkan penganut Syiah.

PETALING JAYA: Situasi yang membawa kepada pembatalan saat akhir seminar mengenai masalah sektarianisme dunia Islam mencetuskan kebimbangan terhadap kebangkitan fahaman Salafi, pemikiran di mana penganutnya sering menganggap orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka sebagai menyimpang dan murtad.

Semakan FMT mendedahkan beberapa akaun media sosial diwujudkan beberapa bulan kebelakangan ini, di mana kaum minoriti Islam seperti Syiah – fahaman Islam ke-2 terbesar di mana pihak berkuasa agama Malaysia mengisytiharkannya sebagai menyimpang – disasarkan, termasuk diancam dengan keganasan.

“Buatkan saja bom, campak di perhimpunan mereka,” kata satu kiriman Facebook yang dikenali sebagai “Gerakan Banteras Syiah”.

Akaun tersebut mencapai hampir 19,000 pengikut dalam masa kurang 2 bulan.

“FB bukanlah tempat yang betul untuk membincangkan memusnahkan Syiah. Mungkin lebih ramai Syiah di sini berbanding Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata seorang pengguna FB, Suratman Hj Mandira.

Semalam, FMT melaporkan satu seminar mempromosikan Mesej Amman – satu perisytiharan yang ditandatangani oleh pemimpin Islam seluruh dunia yang berjanji mengakhiri sektarianisme termasuk konflik Ahli Sunnah Wal Jamaah-Syiah sekian lama – terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan.

Penganjur seminar, Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa membuat laporan polis berikutan ancaman bom ke atas tempat seminar, yang dikirimkan di laman Facebook yang sama.

Polis berkata ancaman itu dibuat oleh pemilik akaun Amirol Md Zain pada 6 Julai.

“Pemilik akaun Facebook itu berkata: ‘kita bomb tempat nie’,” kata jurucakap Bukit Aman Asmawati Ahmad kepada FMT.

Mesej Amman yang ditandatangani di Amman, Jordan oleh Raja Abdullah II pada 2004, membawa bersama 200 cendekiawan Islam dari seluruh dunia yang mewakili fahaman yang berbeza.

Dokumen itu mengiktiraf kesahihan semua 8 fahaman Islam, termasuk Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah, 2 denominasi terbesar dalam dunia Islam.

Syiah dominan di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain dan beberapa bahagian Arab Saudi dan Yaman.

Bagaimanapun sesetengah ulama yang bersekutu dengan ideologi Wahabi di Arab Saudi merekodkan Syiah sebagai menyeleweng, walaupun menghentikan larangan terhadap mereka menziarahi Mekah di mana hanya umat Islam dibenarkan mengunjunginya.

Sejak tahun 1990-an, pihak berkuasa Islam Malaysia memperkatakan pandangan sedemikian, dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 yang mengisytiharkan ajaran Syiah sebagai “menyimpang”.

Pihak berkuasa menyerbu acara agama persendirian oleh penganut Syiah, menahan mereka dan mendakwa mereka kerana melanggar undang-undang Islam tempatan berdasarkan fatwa.

Putrajaya juga mengharamkan buku yang dituduh mempromosikan Syiah, sementara mufti seperti mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sering mengkritik Syiah.

Novelis Faizal Musa, yang lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, secara peribadi dikaitkan dengan pendirian anti-Syiah kerajaan.

Novelis, Faisal Tehrani.

Banyak novelnya, yang kadang-kadang bertemakan tokoh Islam purba yang dihormati dalam ajaran Syiah, masih diharamkan.

Faisal, ahli akademik yang sering mempersoalkan naratif umum dalam kajian sejarah Melayu, disasarkan oleh kumpulan Salafi di media sosial.

Salah satu contoh adalah laman Facebook yang dikenali sebagai “Bongkar Ajaran Sesat”, yang menyiarkan gambar Faisal, dengan penggunanya menulis komen yang mengancam.

“Jika anda melihatnya seberang jalan, langgar dia,” kata satu komen.

Faisal berkata beliau sudah terbiasa dengan ancaman maut terhadapnya.

Beliau menunjukkan kepada FMT sekurang-kurangnya 3 ancaman maut yang diterima di Twitter.

“Sebenarnya saya enggan melayan ancaman dan ugutan sebegini kerana menganggap mereka kelompok ekstrem yang kurang pendidikan,” kata Faisal, yang mana 7 bukunya masih diharamkan sejak kerajaan terdahulu.

Namun Faisal berkata beliau perlu menganggap ancaman seperti itu lebih serius, susulan ancaman mengebom seminar Amman Message.

Beliau berkata orang-orang di belakang kumpulan anti-Syiah ini kerap menghantar kiriman “ulama dan mufti tertentu” yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Beliau juga berkata perlindungan terhadap aktivis di Malaysia masih rendah.

“Inilah yang menimpa orang-orang seperti Amri Che Mat,” katanya, merujuk kepada aktivis Perlis yang hilang pada 2016.

Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pada tahun ini menyimpulkan Amri, bersama seorang aktivis lagi yang hilang, Pastor Raymond Koh, menjadi mangsa “kehilangan paksa” yang menyalahkan pihak polis.