FGV jual 100% kepentingan dalam anak syarikat di China
Cadangan penjualan FGV China Oils Ltd sejajar dengan rancangan menjual aset yang tidak mencatat keuntungan.
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) semalam menandatangani perjanjian pemindahan ekuiti dengan Grand Industrial Holding Co Ltd (GIH) untuk penjualan kepentingannya sebanyak 100% dalam FGV China Oils Ltd (FGVCO) dengan nilai RM100 juta.
GIH merupakan entiti yang diperbadankan di China dan disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen. Dana pemegang saham FGVCO sehingga 31 Dis 2018 berjumlah RMB107 juta, menurut FGV dalam kenyataan hari ini.
FGVCO anak syarikat milik penuh FGV yang terletak di Dongguan, China.
Ia terlibat dalam pemprosesan, penapisan, penyimpanan dan pemasaran minyak makan untuk pasaran China.
FGVCO mengalami kerugian disebabkan perbezaan pasaran susulan persaingan daripada pembekal serantau. Penjualan itu tidak akan memberi sebarang impak yang ketara kepada perniagaan semasa FGV di China atau pelan strategik untuk pasaran China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata cadangan penjualan FGVCO sejajar dengan pelan transformasinya untuk menjual aset yang tidak mencatat keuntungan dan menumpukan kepada memaksimumkan pulangan daripada perniagaan teras dan yang mencatat keuntungan.
Hasil daripada cadangan penjualan tersebut akan digunakan untuk keperluan modal kerja am syarikat.
Menurut kenyataan itu, cadangan penjualan itu dijangka tidak memberi impak yang ketara kepada pendapatan sesaham FGV Group.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
FGV menjangka penjualan itu akan selesai antara akhir 2019 dan suku pertama 2020.