Kata sepakat sistem pengambilan pekerja Bangladesh dijangka Ogos

KUALA LUMPUR: Bangladesh menjangkakan untuk mencapai kata sepakat dengan Malaysia mengenai mekanisme pengambilan baru bagi pekerja Bangladesh bulan depan selepas kerajaan menggantung sistem penggajian pekerja dari negara Asia Selatan itu tahun lepas susulan dakwaan terdapat unsur-unsur rasuah dan kelemahan.

Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad berkata Dhaka dan Putrajaya kini berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya telah bertemu dengan pihak Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Sistem ini akan berjalan lancar apabila tiba masanya.

“Sistem lama tidak berjaya; jadi bagi sistem baru, kami mahu semua pihak terlibat dan berusaha menjayakannya. Saya rasa pada Ogos, mungkin ada beberapa penyelesaian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di persidangan dan pameran sehari “Showcase Bangladesh: Go Global” pada Khamis.

Imran, yang berada di Kuala Lumpur kerana lawatan kerja selama 3 hari, turut memberi jaminan mekanisme baru itu serta proses pengambilan pekerja Bangladesh untuk digajikan di Malaysia akan menjadi lebih telus.

Beliau berkata ini termasuk pemilihan tenaga kerja dan kemahiran yang tepat untuk industri berkaitan selain mengekalkan kemampuan kos pengambilan.

Beliau menambah kerajaan Bangladesh kini memantau proses itu bagi memastikan ia tidak melanggar mana-mana undang-undang.

“Kerajaan kami tidak akan membenarkan kos migrasi meningkat. Ini juga antara perkara utama mengapa kerajaan (Malaysia) ketika ini menghentikan sistem (sebelum ini) kerana kosnya melampaui jangkauan,” katanya.

Pada September tahun lepas, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan dijalankan oleh 10 agensi terpilih yang diluluskan kerajaan sebelumnya.

Sistem sebelum ini menyaksikan pekerja Bangladesh perlu membayar sehingga RM20,000 sebagai yuran pemprosesan setiap orang kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain di Malaysia.

Imran menganggarkan kira-kira 400,000 pekerja Bangladesh kini bekerja secara sah di Malaysia.