Kejutan hari jadi buat Dr M di Istana Negara

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad terus diraikan sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-94 dan kali ini kejutan dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Kejutan ini dibuat selepas selesai istiadat rasmi persembahan Darjah Kebesaran Persekutuan, Darjah Yang Maha Utama Kerabat Di-Raja Malaysia (D.K.M) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) yang turut dihadiri Isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Ali.

Video itu tular di laman sosial Instagram Istana Pahang dan Istana Negara hari ini dan mendapat lebih 18,000 “like” serta lebih 200 komen diterima sejak ia dimuatnaik sejam lalu.

Tindakan baginda ini mendapat perhatian masyarakat yang dilihat sifat kepimpinannya lebih dekat dengan hati rakyat.

Ia bermula sejak baginda sendiri beratur membeli makanan KFC di Bandar Temerloh 21 Jun lalu, diikuti dengan keprihatinan baginda yang mencemar duli membantu mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya pada 26 Jun 2019.

Maka sejak itu, setiap postingnya sering mendapat perhatian yang kini hampir mencecah 35,000 “follower” bagi akaun Istana Pahang dan hampir 44,000 “follower” untuk akaun Istana Negara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]