Lantik transgender tak bermakna iktiraf LGBT, kata persatuan pakar perubatan

Rania Zara Medina. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pelantikan golongan minoriti seperti transgender bagi menganggotai Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) tidak bermakna Kementerian Kesihatan mengiktiraf amalan, budaya atau gaya hidup kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgander (LGBT), kata Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM).

Presiden Dr Zainal Arifin Omar berkata semua program kesihatan awam peringkat global, nasional dan setempat tidak harus ada diskriminasi dan peminggiran berdasarkan bangsa, agama, warna kulit, politik, gaya hidup dan sebagainya.

“Sudah menjadi amalan kementerian berdasarkan prinsip kesihatan awam yang menyeluruh mengambil wakil-wakil pelbagai pemegang taruh, dalam pelbagai jawatankuasa program seperti Program Gantian Metadon, Penukaran Jarum Suntikan, pemberian kondom dan dekriminalisasi ketagihan dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pelantikan seorang transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli CCM melalui surat pelantikan rasmi Kementerian Kesihatan yang ditandatangani Timbalan Menteri Dr Lee Boon Chye, yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Lee dalan kenyataan semalam menjelaskan, pelantikan Rania sebagai ahli CCM Malaysia bagi penggal 2019 hingga 2021 mengikut prosedur sedia ada.

Zainal berkata PPPKAM berpandangan isu pelantikan ini tidak perlu disalahtafsir.

Katanya, usaha-usaha pencegahan dan kawalan terutama HIV/AIDS dan penyakit-penyakit yang melibatkan rakyat tidak akan berjaya dengan retorik, mencicirkan kumpulan terlibat dan kontroversi tanpa faedah.

“PPPKAM juga menyeru semua kumpulan dan individu yang prihatin kepada kesejahteraan dan kebaikan ummah serta rakyat negara ini sama-sama menggembeleng fikiran, tenaga dan usaha ke arah memberi sumbangan yang signifikan dan impak positif,” katanya.