Menteri mahu bukti Orang Asli dipaksa ambil ubat perancang

Wanita dari suku Temiar di Gerik, Perak mengadu dipaksa mengambil ubat perancang untuk mengawal kelahiran.

KUALA LUMPUR: Tuduhan yang mengatakan petugas perubatan kerajaan memaksa penduduk Orang Asli suku Temiar di Gerik, Perak mengambil ubat perancang perlu disertakan dengan bukti untuk siasatan lanjut, kata menteri Kesihatan.

Dzulkefly Ahmad berkata tuduhan itu tidak munasabah kerana petugas kementeriannya terlatih dan akan memberitahu kesan baik dan buruk pengambilan sesuatu ubat.

“Ini standard prosedur yang biasa,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian susulan wakil Orang Asli Temiar mendakwa golongan ibu dan wanita baru berkahwin menjadi sasaran petugas perubatan kerajaan supaya mengambil ubat perancang atas alasan mengawal kelahiran.

Sebelum ini, komuniti itu juga mendakwa mereka tidak diberitahu tujuan dan kesan sampingan daripada pengambilan ubat perancang tersebut.

Semalam, FMT melaporkan salah seorang mangsa yang mendakwa dirinya dipaksa mengambil ubat perancang itu mengadu mengalami perubahan selepas mengambil ubat daripada petugas berkenaan.

Antaranya, beliau sering berasa sakit badan dan pening kepala.

Bagaimanapun, kata Dzulkefly, beliau yakin perkara itu boleh diatasi jika dakwaan itu terbukti benar.