PM: Kerajaan kaji campur tangan Istana Johor dalam isu had umur belia

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meneliti khabar angin mengatakan Istana Johor campur tangan berhubung isu pindaan had umur belia di negeri itu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan meneliti sama ada khabar angin yang mengatakan campur tangan Istana Johor berhubung isu had umur belia di negeri itu benar-benar berlaku.

Mahathir percaya wujud masuk campur Istana dalam perkara itu “sebab itu mereka (exco negeri Johor) membuat kenyataan (ubah had umur belia),” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri (KDN) Muhyiddin Yassin berkata pihak Istana dialu-alukan untuk memberikan pandangan kepada pentadbiran negeri dan pusat.

Beliau bagaimanapun meminta supaya Istana tidak melebihi batas sehingga sampai ke satu tahap yang disifatkannya sebagai mencampuri urusan pentadbiran negara.

Katanya, ini kerana kerajaan sudah dipilih oleh rakyat untuk memikul tanggungjawab dan melaksanakan hasrat yang diinginkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Apabila ditanya, apakah tindakan selanjutnya yang akan dibuat jika didapati campur tangan itu benar-benar berlaku, Mahathir berkata, kerajaan akan memutuskan sama ada ia merupakan sesuatu yang boleh diterima ataupun tidak.

“Kita akan kaji,” katanya.

Terdahulu, selepas 8 jam menerima pindaan had umur belia yang dicadangkan kerajaan dari 15 hingga 30 tahun, kerajaan Johor membuat kejutan apabila mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dengan berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat “beberapa pihak”.

Pada 3 Julai, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dibahaskan oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Syed Saddiq dalam pembentangannya berkata, selain mengubah had umur, ia juga mengehadkan usia pemegang jawatan dalam pertubuhan belia kepada tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikan.

Turut mengekalkan had umur belia 40 tahun ialah Sarawak.
Ketua Menteri Abang Johari Openg ketika menolak cadangan pindaan itu berkata, Sarawak tidak perlu ikut serta dengan rancangan tersebut.

Beliau berkata, perkara itu termasuk dalam senarai bersama, maka terserah kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat pindaan bagi mengubah definisi belia.

“Pada masa ini had umur belia di Sarawak ialah 40,” beliau dilaporkan berkata pada 6 Julai.