PM mahu usahawan tak pandai belit dan tipu pelanggan

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata usahawan perlu bersikap positif dan berani mengambil risiko. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Putrajaya bertekad melahirkan usahawan yang tidak pandai membelit dan menipu pelanggan, sebaliknya mengamalkan nilai integriti dan kebolehpercayaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, nilai dan budaya keusahawanan bukan perkara asing dalam kalangan rakyat, sebaliknya ia adalah nilai yang harus disemai dan dilentur sejak dari awal lagi.

“Saya rasa inilah aspek paling mustahak untuk kita semai dan teliti semula. Tidak ada usahawan akan berjaya tanpa disiplin dan kesungguhan.

“Begitu juga perlunya sikap positif dan keberanian mengambil risiko,” katanya sewaktu melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Matlamat DKN 2030 ditubuhkan adalah bagi memberi tumpuan khusus kepada ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, turut bertujuan meningkatkan bilangan usahawan berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Mahathir berkata, setiap usahawan perlu diberi penekanan kepada pendidikan dan latihan keusahawanan berterusan, bagi mempersiapkan diri menghadapi dan melalui Revolusi Industri 4.0.

“Kegagalan mengikuti perkembangan dan cabaran dari Industri 4.0 akan meminggirkan usahawan-usahawan kita, jika kita tidak bersedia,” katanya.