Putrajaya tiada hasrat gubal akta ketum, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan kini dalam proses meminda Akta Racun 1952 yang akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan pokok ketum.

KUALA LUMPUR:Kerajaan tidak berhasrat untuk menggubal akta khas berkaitan ketum, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye

Bagaimanapun katanya, kerajaan kini dalam proses meminda Akta Racun 1952 (Akta 366) yang akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan pokok ketum.

“Untuk pindaan Akta Racun ini sedang berjalan dan kita akan adakan sesi perbincangan dengan pihak pemegang taruh. Pandangan kementerian sedia ada tidak menggalakkan pengkomersialan ketum.

“Draf yang kita cadangkan kemungkinan besar juga tidak akan membenarkan penanaman ketum secara besar-besaran, kecuali di dalam keadaan tertentu untuk penyelidikan dan sebagainya.

Kita cadangkan untuk bentang pindaan pada Oktober ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menggubal satu akta khas berkaitan ketum.

Dalam perkembangan sama, Boon Chye berkata, kerajaan tidak berhasrat menggalakkan penanaman ketum kerana akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial.

“Di Malaysia, masalah ketum ini ia digunakan sekali dengan dadah lain. Selepas jadi ketagih dengan ketum, mereka akan ‘naik taraf’ kepada dadah lain.

“Sebab itu kerajaan tidak berhasrat galakkan penanaman ketum kerana ini satu masalah sosial yang perlu dibendung,” katanya menjawab soalan tambahan kedua Moktar Radin (BN-Kinabatangan).