RUU pindaan perlembagaan kurangkan umur layak mengundi dibentang di Parlimen

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bacaan kali ke-2 dan ke-3 RUU pindaan perlemagaan itu akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat kali ini yang bersidang sehingga 18 Julai.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, sehari selepas ia ditarik balik.

Ia dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata, bacaan kali ke-2 dan ke-3 RUU itu akan dibuat pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang sehingga 18 Julai ini.

RUU itu bertujuan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan ini akan membenarkan lebih ramai warganegara Malaysia mengundi.

Selain itu, RUU itu bercadang meminda takrif “tarikh kelayakan” dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Dengan pindaan ini, apabila seorang warganegara mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi, dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Dalam pada itu, cadangan pindaan turut melibatkan Seksyen 5 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu akan melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang ini.