3 ditahan terbabit sindiket edar dadah RM10 juta

Kamarulzaman Mamat (4 dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Rabu lepas kerana disyaki terbabit dalam sindiket mengedar dadah dianggarkan bernilai hampir RM10 juta.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat berkata, semua suspek itu berumur 30 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, dalam operasi kira-kira 2.25 petang hingga 7.15 malam itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 59.25kg, pil dipercayai ecstasy sebanyak 197,580 biji, ketamin seberat 18.7kg dan candu seberat 365g, selain wang tunai RM37,000.

Polis turut menyita 4 kenderaan mewah jenis Mercedes, Toyota Harrier, Toyota Alphard dan Volvo sebagai bahan bukti siasatan.

“Kami tahan seorang lelaki di sebuah kediaman mewah sekitar Bukit Tunku di sini dan membongkar aktiviti memproses dadah di sebuah makmal.

“Empat lagi serbuan dilakukan di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dan hasilnya tangkapan 2 lagi suspek serta penemuan sebuah lagi makmal proses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Kamarulzaman berkata, semua suspek aktif menjalankan kegiatan itu sejak 2 bulan lepas dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan serta luar negara.

Katanya, semua suspek direman 7 hari sehingga 17 Julai ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).’

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.