Akta Hasutan terus diguna bagi kes ekstrem, kata peguam negara

Pakatan Harapan melalui manifesto PRU14 berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, jabatannya akan terus menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi kes bersesuaian untuk mendakwa mereka yang menyebarkan ucapan berunsur kebencian.

Katanya, peningkatan jumlah ucapan berunsur kebencian, khasnya atas talian berkaitan kaum, agama dan raja di negara majmuk ini bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi sudah disalahgunakan.

Beliau berkata, cabaran untuk Jabatan Peguam Negara ialah mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin luas selepas pilihan raya umum tahun lalu dan penyebaran ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat.

“Sekiranya pendakwaan dijalankan, kami akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan, namun dalam keadaan di mana tiada alternatif di bawah undang-undang, untuk kes-kes yang bersesuaian, kami tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan sehingga ia dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thomas berkata, selepas dilantik sebagai peguam negara pada Jun 2018, beliau memutuskan untuk mengambil kira undang-undang alternatif, termasuk peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, dan hanya akan menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan terakhir.

“Ini kerana Akta Hasutan adalah undang-undang yang sah dan tidak boleh diketepikan langsung. Perkara tersebut hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dibatalkan oleh Parlimen.”

Katanya, kes pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin sekali lagi mengalihkan tumpuan masyarakat kepada penggunaan berterusan akta itu oleh Jabatan Peguam Negara dan salah tanggapan berhubung isu itu.

Beliau berkata, Akta Hasutan antara akta Parlimen yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14 untuk dimansuhkan.

Kedua, katanya, Kabinet tidak memaklumkan Jabatan Peguam Negara berhubung sebarang keputusan untuk meminda atau memansuhkan Akta Hasutan.

“Di bawah sistem kerajaan sedia ada, Kabinet yang akan membuat keputusan bagi cabang eksekutif sama ada untuk menggubal, memansuh atau meminda undang-undang untuk diangkat ke Parlimen, yang mana kami berperanan membantu menggubal undang-undang baru.”

Ketiga, katanya, Jabatan Peguam Negara tidak menerima “arahan” daripada Kabinet yang menghalang penggunaan Akta Hasutan.

Thomas berkata, arahan seumpama itu, dalam apa jua keadaan, tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk peguam negara membuat keputusan berkaitan pendakwaan sesuatu kes bagi pihak kerajaan.

Katanya, dasar Jabatan Peguam Negara ialah mengkaji semula setiap kes hasutan yang masih berjalan di mahkamah sejak Mei 2018 berdasarkan fakta kes.

Beliau berkata, jabatannya akan bertindak berdasarkan representasi daripada tertuduh atau peguam bela mereka demi menjamin ketelusan serta kebertanggungjawaban.