Anwar mungkin tidak teruskan semua dasar Mahathir, kata penganalisis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyuarakan keraguan bahawa Anwar Ibrahim akan meneruskan semua dasar Dr Mahathir Mohamad apabila mengambil alih kepimpinan kerajaan sebagai perdana menteri.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, respons kedua-dua pemimpin itu Isnin lepas kepada soalan tentang penerusan dasar kerajaan tampak kabur.

Beliau memberitahu FMT bahawa ia merupakan petunjuk bahawa kedua-dua Mahathir dan Anwar tahu dasar akan berubah sebaik berlakunya peralihan kuasa.

Respons Anwar kepada soalan tersebut ialah, “Tindakan Tun adalah berdasarkan dasar Pakatan dan saya ahli Pakatan. Jadi saya fikir cukup di situ.”

Sementara itu jawapan Mahathir lebih selamba, sekali gus menyebabkan hadirin ketawa. Katanya, “ahli Pakatan mesti mengikut pemimpinnya. Jika tak ikut, kita belasah.”

Azmi berkata, beliau percaya jawapan Anwar bertujuan melunakkan kebimbangan pelabur.

“Bagaimanapun Mahathir dan Anwar perlu menjelaskan tentang rancangan kerajaan untuk mengurangkan hutang negara kerana ia akan memberi kesan ke atas bentuk belanjawan negara pada masa depan,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Ali Salman berkata, Anwar berhak berdiam diri mengenai perkara dasar sehingga beliau memperoleh kuasa eksekutif.

Katanya, beliau juga percaya semua ahli Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati agenda bersama gabungan politik itu.

“Pandangan saya, Mahathir harus mengumumkan pelan peralihan kuasa itu menjelang belanjawan akan datang bagi membolehkannya berjalan dengan lancar,” katanya.

“Ini akan memberikan perdana menteri baru ruang yang mencukupi untuk menyediakan pasukannya sendiri.”

Menurut persetujuan dalam kalangan pemimpin PH, Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri berikutnya, walaupun tiada tarikh khusus ditetapkan.