Apa rancangan lanjut pihak berkuasa Malaysia, soal waris MH17

Waris penumpang MH17 berkata, Malaysia Airlines ataupun pemiliknya, Khazanah Nasional Berhad belum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjelaskan peranan mereka dalam siasatan ke atas tragedi MH17. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Waris bagi penumpang pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang terhempas 5 tahun lalu menyokong penemuan pasukan siasatan bersama (JIT) ke atas tragedi itu.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang ikhlas terhadap usaha mereka sehingga kini,” kata kumpulan waris itu dalam kenyataan hari ini.

Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal terbunuh.

Bulan lalu, JIT yang diketuai Belanda dilaporkan berkata, mereka yakin satu misil Telar BUK digunakan untuk menembak jatuh MH17.

Katanya, senjata itu berasal dari Briged Misil Anti-pesawat ke-53, satu unit tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk di Rusia.

JIT menamakan 4 suspek – Igor Girkin, bekas kolonel keselamatan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov dari Perkhidmatan Risikan Tentera Rusia serta Leonid Kharchenko, bekas komander Ukraine.

Ramai pengkritik, termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak penemuan pasukan itu dengan berkata, mereka tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh untuk menunjukkan 4 suspek terbabit melakukan jenayah itu.

Waris penumpang MH17 berkata, kenyataan daripada pelbagai pihak mencetuskan kekeliruan dan seksaan bagi sesetengah ahli keluarga.

Mereka menunjukkan hakikat wakil Malaysia dalam JIT, Peguam Cara Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria yang dilaporkan berkata, Malaysia menyokong penemuan pasukan itu.

Mereka memetik Hanafiah ketika bercakap dalam satu sidang media pada 19 Jun lalu yang “kami (Malaysia) tidak mengubah pendirian kami”.

Mereka turut menggesa pihak berkuasa Malaysia mendedahkan rancangan seterusnya kerana Malaysia Airlines ataupun pemiliknya, Khazanah Nasional Berhad belum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menjelaskan peranan mereka dalam siasatan itu.

“Kami mahu menekankan tiada tindakan diambil pihak berkuasa Malaysia dalam isu ini menyebabkan beberapa waris bimbang dan tidak puas hati.”