Kelantan sokong Dr M tunai janji laksana projek, junjung konsep federalisme

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

KOTA BHARU: Kelantan menyokong kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menunaikan janji melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, Mahathir kini dilihat menjunjung tinggi konsep federalisme apabila berusaha membantu membangunkan Kelantan walaupun ia ditadbir oleh pembangkang, termasuklah dalam pengurusan bekalan air dan program tebatan banjir.

“Dr Mahathir tak lihat dari segi kepartian tapi dari segi kewajipan (kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri). Kita sokong Dr Mahathir (kerana junjung konsep federalisme),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah agama di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Selasa lepas, Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dalam mesyuarat kali keduanya memberi tumpuan kepada 4 isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri itu.

Pengerusinya Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, 4 perkara yang diteliti itu ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.

Mengulas mengenai 4 projek itu, Ahmad yang juga pengerusi bersama MTNg berkata, ia akan memberi faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk di negeri ini.

“Empat projek berkenaan, terutama berkaitan pembinaan empangan, bukan sahaja akan mengawal banjir malah bakal menjadi sumber baru bekalan air kepada Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan naib presiden Amanah Husam Musa yang mahu PAS menyertai Pakatan Harapan (PH), Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, pihaknya menyediakan pelbagai program bagi menggerakkan Gagasan Sejahtera dan konsep Penyatuan Ummah antara parti itu dan beberapa parti lain termasuk Umno.

“Kami ada program yang sesuai yang kami rangka untuk tawarkan kepada rakyat dan parti lain.

“Kami yakin bahawa apa yang kami ada ini lebih baik daripada PH walaupun mereka memerintah negara ketika ini,” katanya.