KPN janji bantu saya atas dakwaan tahanan salah, kata bekas polis

Md Ali Amir Batcha didakwa mengetuai sekumpulan polis elit dalam satu siri rompakan pada 1995.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berjanji membantu bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa beliau ditahan secara salah tanpa perbicaraan di bawah Ordinan Darurat (EO) selama 3 tahun pada 1990-an, dengan tuntutan pampasannya.

Ali menuntut lebih RM316,000 sebagai pampasan kerana disalah tahan dan dipecat daripada pasukan polis serta manfaat pencen.

Beliau mendakwa disalah tuduh mengetuai sekumpulan polis elit dari Unit Tindakan Cekap dalam satu siri rompakan pada 1995.

“Saya terpaksa mendapatkan khidmat peguam yang menelan belanja RM50,000. Ini yang saya tidak suka,” katanya selepas menemui Hamid di Bukit Aman hari ini.

Bekas pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) itu berkata, ketua polis negara berjanji akan mengemukakan kesnya kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Katanya, Hamid mendapati itu adalah hak yang sepatutnya diberikan kepadanya sebagai bekas pegawai polis.

“KPN menerima penjelasan saya. Mereka (Hamid dan pegawainya) mengalu-alukan saya dan melayan saya dengan baik,” katanya selepas pertemuan selama sejam dengan mengemukakan dokumen untuk menyokong dakwaannya.

Ali berkata, masalahnya bermula apabila beliau disalah tuduh mengetuai sekumpulan polis elit dari Unit Tindakan Cekap dalam satu siri rompakan pada 1995.

Unit itu sebahagian daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan berpangkalan di semua ibu pejabat polis negeri.

Katanya, belia ditahan di Simpang Renggam, Johor, tanpa perbicaraan selama 3 tahun.

Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah dan pertuduhan ke atasnya diketepikan mahkamah pada 1998.

Beliau turut mendakwa dipecat secara tidak sah ketika ditahan di Simpang Renggam.

Ali mahu polis membuka semula siasatan ke atas dakwaan beliau mendalangi beberapa rompakan kerana mendakwa dirinya ialah mangsa konspirasi.

Beliau sudah membuat 3 laporan polis berhubung perkara itu dan menyerahkan salinan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Bukit Aman.

Katanya, Hamid memaklumkan beliau bebas memfailkan saman di mahkamah semula dan polis tidak akan menghalangnya.