Mara nafi kurangkan peruntukan biaya pelajar ke luar negara

Setakat ini jumlah pelajar tajaan Mara ke luar negara seramai 38,758 orang.

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini menafikan dakwaan kononnya berlaku pengurangan peruntukan pembiayaan pelajaran untuk pelajar cemerlang ke luar negara bagi tahun ini.

Mara menerusi satu kenyataan menegaskan, jumlah peruntukan RM2 bilion yang diluluskan kerajaan bagi program pinjaman pelajaran untuk 2019 adalah sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Peruntukan ini digunakan untuk menaja pelajar yang mengikuti pengajian di semua peringkat dalam dan luar negara.

“Mara tidak menetapkan sebarang kuota penghantaran pelajar ke luar negara, tetapi penghantaran pelajar adalah berasaskan kepada bidang-bidang yang selari dengan keperluan guna tenaga negara,” menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, media melaporkan Ketua Wanita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Asmah Razalli mendakwa terdapat pengurangan mendadak peruntukan dan kuota pelajar cemerlang tajaan Mara ke luar negara.

Menurut kenyataan itu, setakat ini jumlah pelajar tajaan Mara seramai 38,758 orang dan diunjurkan 50,000 pelajar menjelang akhir tahun ini. Sehingga Mei tahun ini, terdapat 1,535 pelajar tajaan Mara di luar negara menerusi program seperti Program Bakat Muda (YTP), Pelajar Cemerlang IPMA (IESP), Graduan Cemerlang (GrEP) dan Program Pembangunan Profesional (Pro-P).

“Sehingga hujung tahun ini, diunjurkan seramai 1,750 lagi pelajar akan dihantar ke luar negara yang menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Mara di luar negara seramai 3,285 orang untuk 2019 yang melebihi jumlah pelajar tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mara menjelaskan pengurangan bilangan pelajar ke luar negara berbanding 2 tahun sebelum ini, disebabkan beberapa faktor termasuk kenaikan yuran pengajian sekurang-kurangnya 10% pada setiap tahun bagi pengajian dalam dan luar negara.

“Selain itu, pertukaran mata wang asing turut menyumbang kepada kenaikan kos yuran pengajian dan juga sara hidup kerana bayaran kepada pelajar dan institusi pengajian menggunakan mata wang negara tersebut,” katanya.