Nilai jualan borong, runcit meningkat 6.8% kepada RM110.8 bilion Mei lepas

Menurut Jabatan Perangkaan pertumbuhan jualan borong dan runcit pada Mei 2019 didorong oleh promosi bersempena Hari Raya.

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit tumbuh 6.8% tahun ke tahun kepada RM110.8 bilion pada Mei 2019 yang didorong oleh kempen promosi bersempena perayaan Aidilfitri, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan pada Mei disumbangkan, terutamanya oleh jualan kendaraan bermotor dan perdagangan runcit yang berkembang masing-masing 9.1% dan 7.8% tahun ke tahun.

Beliau berkata, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan borong dan runcit berkembang 5.1% berbanding April 2019.

“Kesemua sub-sektor mengalami pertumbuhan positif pada Mei 2019 selepas merekodkan pertumbuhan negatif pada April 2019.

“Pengembangan itu didorong oleh peningkatan harga jualan kenderaan bermotor yang meningkat 8.8% bulan ke bulan berikutan kempen promosi perayaan Aidilfitri,” katanya.

Ini diikuti penjualan runcit yang bertambah 5.3% bulan ke bulan dan perdagangan borong yang mencatat pertumbuhan 4.2% berbanding April 2019, katanya.

Dari segi indeks volum, Mohd Uzir berkata, perdagangan borong dan runcit mencatat kenaikan 6.2% tahun ke tahun pada Mei 2019.

“Pengukuhan itu dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang berkembang 9.1% tahun ke tahun dan perdagangan runcit yang bertambah 8.4% tahun ke tahun,” katanya, dan menurutnya volum perdagangan borong turut tumbuh 3.5% tahun ke tahun pada Mei 2019.