Peguam gesa Singapura henti ‘hukuman mati bersiri’

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) berkata, kerajaan Singapura minggu ini menolak petisyen pengurangan hukuman 10 banduan di penjara Changi, dengan 4 daripadanya rakyat Malaysia disabitkan kerana kesalahan dadah.

Penasihat LFL N Surendran berkata, oleh sebab di Singapura, hukuman mati akan dijalankan sebaik sahaja petisyen pengurangan hukuman ditolak, maka pihak berkuasa negara itu perlu menghentikan apa yang disifatkannya sebagai “hukuman mati bersiri”.

“Bilangan penolakan petisyen pengurangan hukuman yang besar dan melonjak secara tiba-tiba ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan mengejutkan.

“Ia mengisyaratkan bahawa Singapura sedang ghairah mahu melaksanakan hukuman mati dengan mengetepikan norma undang-undang antarabangsa dan pandangan dunia yang lebih waras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat tahanan Malaysia terbabit dikenali sebagai Datchinamurthy Kataiah, Gobi Avedian, Abdul Helmi Ab Halim dan Rahmat.

Surendran berkata, 4 warga Malaysia itu merupakan kumpulan terbesar orang asing yang berdepan hukuman mati di penjara Changi.

Katanya, jumlah penolakan serentak petisyen pengurangan hukuman itu juga menimbulkan persoalan sama ada setiap kes dipertimbangkan oleh Kabinet dan presiden Singapura mengikut hak perlembagaan tahanan.

Beliau mengggesa kerajaan Singapura supaya menghentikan hukuman mati itu dan mengenakan moratorium ke atasnya sementara menunggu semakan semula penolakan petisyen tersebut.

Surendran juga mendesak Putrajaya supaya segera membuat representasi kepada Singapura bagi pihak rakyat Malaysia yang ditahan.